Bismillahhirahmanirrahim……
Salam…
11 Januari mempunyai sejarah tersendiri buat keluarga ma. Hari ini 11 Januari 2010 genaplah 3 tahun ma kehilangan orang yang melindungi dan memberi kasih sayang pada ma selama ini, yang menjadi ketua dalam keluarga kami.
Dalam usianya 64 tahun, dan menderita sakit selama 5 bulan, dia pergi meninggalkan kami dalam keadaan yang masih banyak perkara-perkara dalam kehidupannya yang tinggal tergantung, belum selesai.
Yang paling diharapkannya ialah selesainya kes perbicaraan novel karya beliau “HARTINI'’ yang telah diadaptasi secara rompak oleh penerbitan BNE milik Erma Fatima ke media elektronik TV3.
Sepotong Al-fatihah buat allahyarham Abdul Aziz Bin Ismail atau dikenali juga sebagai Aziz Afkar……….
Disini ma turunkan sepotong puisi karya ma yang pernah diterbitkan di Dewan Sastera keluaran September 2008, khas untuknya. Puisi ini ma tulis setelah 3 bulan pemergiannya. Ma tak tahu kenapa ma mengambil masa lama untuk menghasilkan, tapi apa yang ma sedar, setelah ma selesai menulis puisi itu, jiwa ma rasa puas dan tenteram dan tiada apa lagi yang patut ma meluahkannya.
salam sayang...
SEKALUNG KASIH BUAT SUAMIKU
Rindu yang tak terlafaz oleh kata-kata
tak terlukis di alam nyata
tiada lagi gelak tawa dan bual bicara
dunia ini menjadi sunyi
meskipun siang belum berhenti.
Aku kehilangan
bukan sahaja kehilangan seorang yang kukasihi
malah aku kehilangan
seseorang yang kuyakini
amat mengasihiku.
Apabila saat kau mampir dalam sepiku
setiap itu sebak hadir di dadaku
dan aku tiada sesiapa lagi
untuk direbahkan esakanku.
Aku melihat saat-saat kau mengenakan pakaian di badanmu
aku melihat saat-saat kau bertenang ketika aku dalam kemarahan
masih terdengar ucapan syukurmu ketika aku membawa secangkir teh buatmu…
Betapa ada suara-suara simpati
…jangan lagi diingat
…jangan lagi dikenanag orang yang sudah pergi
tapi apa yang nyata
aku bahagia.
Mengenangmu adalah kewajipanku
merinduimu adalah kebajikan buatku
antara kita kalis sengketa.
Biarkan….
biarkan saja masa yang mengambil alih kedukaanku…
Innalillahi wa inna ilaihi rojiuun..
semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa selama hayatnya
semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya
dan menempatkannya bersama orang-orang yang solihin.
Al-Fatihah.
6 comments:
al fatihah buatnye...
semoga ma tabah mengahdapi setiap ujian...dan juga semoga ma tenang dlm mengharungi hidup bersendirian...amin.
adeh kalau anak beranak seni tu...syahdu je entry nye...
salam ma..sy kawan pd kak amy=)
Alicia :
terima kasih menghadiahkan fatihah buat abah.
InsyaAllah jumpa lagi dilain coretan....
Oneyani :
Terima kasih yani... Dgr citer org trg. jemputlah kerumah..
Semuga roh nye di syurga Allah SWT yg terindah. ...
Assalamualaikum Ucu
Man baca tulisan Ucu tentang Pak Ajis dgn sebak hati sekali.
Pernah masa kecik dule, Man kena pukul dgn Mak kat Siglap dulu pasal main api dan Pak Ajis yg selamatkan Man. Memang dia seorang yang lembut dan penuh kasih sayang.
Semoga Pak Ajis ditempatkan Allah di samping orang orang yg beriman.
Salam untuk semua di rumah.
Ahmad Loqman
Walaikumsalam man.. Sori ucu baru terbaca komen man. Bila man terkenangkan pak ajis, ucu pun teringat kata-kata pak ajis. "Peristiwa yang berlalu tak akan berulang lagi.".... Lv u man.
Post a Comment